Pages

Followers

20.8.11

Cara Mudah Mencintai Al-Quran


Al-Quran
Zaman sekarang ini memang banyak cabaran di sekeliling kita sehingga kita alpa dengan keperluan akhirat yang sememangnya jauh jauh dan jauh lebih penting dari dunia. Kenapa saya katakan jauh, kerana di sanalah bermulanya kehidupan sebenar seorang manusia. Di dunia kita hidup pun tidaklah lama sangat sekitar 60 ke110 tahun. Itu pun kalau dapat umur yang banyak macam cucu Mat Kilau dapatlah hidup 180 tahun. 
Dalam kehidupan seharian kita ini kalau kita cerita tentang Al-Quran, hmmmm...payahlah. Itu jangan ceritalah kalau nak sentuh Al-Quran sehari sekali memang jauh sekali. Kita semua tahu Al-Quran adalah mukjizat terbesar dan sejarah membuktikan sumber ilmu di dunia ini datangnya dari Al-Quran. Ia bukan sahaja diakui cendiakawan Islam malah di pihak barat sendiri.


Jadi bagaimana caranya kita mahu sentiasa berdampingan dengan Al-Quran sepanjang masa? Satu soalan saya mahu tanyakan, anda bayangkan bagaimana kalau saya boleh memberi anda satu tablet komputer khas yang mudah untuk digunakan yang mengandungi penyelesaian kepada segala permasalahan kita seharian? sudah tentu anda mahu. Anda bayangkan betapa mudahnya Tablet ini digunakan sehinggakan segala masalah dan apa jua kesulitan dapat diselesaikan dengan mudah pada masa itu juga. Bahasa yang digunakan sangat mudah difahami. Anda hanya perlu tekan dan pasti menemui jawapannya. Dan satu lagi yang perlu anda tahu, Tablet ini sangat beharga kerana hanya anda seorang sahaja yang ada. Mahukah anda tinggalkan sahaja Tablet ini di rumah? Sudah tentu tidak. Anda pasti akan membawanya ke mana-mana sahaja. Ada masalah sahaja, buka Tablet, search, Terus dapat jawapan.

Manuskrip dari Al-Andalus abad ke-12
Apa yang pasti Al-Quran lebih baik dan lebih banyak manfaatnya dari Tablet di atas.  Makan bawalah Al-Quran kemana-mana sahaja. Pastikan ia adalah Al-Quran yang mempunyai terjemahan yang anda fahami. Kenapa kena bawa Al-Quran terjemahan? Kerana ia ada bahasa yang anda faham. Kalau bosan baca jawi, boleh baca maknanya sahaja. Buat permulaan ini bagi yang masih kurang membaca Al-Quran, maka bawalah ia baik semasa beriadah, bekerja, melancong, membeli-belah, makan, belajar, memandu dan sebagainya. Ia akan memberi impak yang besar kepada psikologi kita. Bagaimana? Anda akan mula rasa Al-Quran ini perlu dijaga dan semasa melakukan aktiviti harian anda, anda akan mula merasa hormat kepada Al-Quran dan mula memikirkan tempat-tempat yang sesuai untuk meletakkan Al-Quran ini supaya tidak dilangkah, tepijak atau terduduk oleh orang lain. Ia juga akan menjadi bahan bacaan apabila anda merasa sangat bosan atau bila ada masa terluang sewaktu menunggu bas, menunggu pesanan makanan, rehat dan sebagainya. Anda akan mula berjinak-jinak dengan Al-Quran. Lama-kelamaan di dalam minda anda akan terpahat "Aku ada bawa Al-Quran nih seganlah pulak nak ponteng kerja nih...bla bla bla..." Anda akan mula berasa malu untuk berbuat maksiat dan dosa. Ini akan memelihara lagi akhlak kita.
Kenapa? malu nak bawa? Takut nampak terlalu warak? Itu bagi yang tak biasa membaca Al-Quran anda akan merasa begitu tapi tidak mengapa jika anda malu, balutlah kulit buku Al-Quran itu dengan kertas tebal yang menarik. Ini sebagai permulaan sahaja. Percayalah setelah anda biasa membaca Al-Quran anda akan mula yakin untuk membawanya dan menjadi bahan bacaan kebiasaan anda, InsyaAllah.
WAllahu A'lam.

0 comments:

Post a Comment